SEPTEMBER 2024

Inovasi Tingkat Sistem Keselamatan Sosial - Fadillah


KUCHING: Inovasi dan pelaburan akan meningkatkan kecekapan dan tindak balas ke atas sistem keselamatan sosial negara, kata Timbalan Perdana Menteri.

Dato Sri Fadillah Yusof menegaskan, justeru amat penting bagi pembuat dasar menimbang cara menyesuaikan pembiayaan dan kerangka keselamatan sosial bagi menangani perubahan persekitaran tenaga kerja dan ekonomi digerakkan oleh kecerdasan buatan (AI).

AI sangat diperlukan memandangkan masyarakat di dunia semakin mengubah landskap pekerjaan dan kegiatan ekonomi yang memberi impak kepada kelestarian sistem keselamatan sosial, katanya merasmikan Persidangan Pengurusan Keselamatan Sosial Antarabangsa (SSMiC) 2024 di sini.

Persidangan yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bertemakan ‘Keselamatan Sosial Dalam Era AI’ itu adalah yang pertama seumpamanya di negeri ini.

Menurut Fadillah, AI menawarkan banyak faedah dan berpotensi menyeragamkan operasi untuk membolehkan khidmat yang diberikan lebih cekap dan bertindak balas.

Daripada meningkatkan ketepatan pengagihan faedah kepada mengesan penipuan dan kecekapan pentadbiran, AI juga boleh mengubah cara menunaikan keselamatan sosial untuk meningkatkan mutu kehidupan, katanya.

Dengan menggunakan teknologi, katanya, kerajaan berhasrat menyediakan sokongan dan keselamatan yang lebih baik untuk semua dengan memastikan sistem keselamatan sosial negara adalah moden dan inklusif.

Beliau berkata, perubahan dan meningkatkan penggunaan digital sangat penting untuk memastikan sistem negara kekal kuat, berkesan dan inklusif dalam semua aspek.

Kerajaan, tambahnya turut merumus Kerangka Keselamatan Sosial Negara yang fokus kepada perubahan dasar dan kesedaran awam dengan matlamat menyediakan keselamatan kewangan dan perlindungan sosial kepada rakyat terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan peralihan demograpi.

Penyatuan AI ke arah sistem keselamatan sosial menawarkan banyak peluang dan cabaran, katanya.

Teknologi AI boleh meningkatkan kecekapan, ketepatan dan ases kepada khidmat keselamatan sosial tetapi terdapat juga unsur yang lebih penting membabitkan amalan beretika, tegas beliau.